Pilih Bahasa

2,416 pasangan warganegara Indonesia daftar isbat nikah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seramai 2,416 pasangan warganegara Indonesia di daerah ini direkodkan sudah mengesahkan perkahwinan mereka secara isbat nikah mengikut undang-undang negara Indonesia yang dijalankan sejak tahun 2012.

Konsul Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata pada tahun ini sahaja seramai 302 pasangan warga Indonesia didaftarkan pernikahan mereka dalam program selama empat hari bermula hari ini.

Sulistijo Djati Ismojo (tujuh dari kiri) bergambar kenangan bersama pasangan yang sudah mengesahkan perkahwinan secara Isbat Nikah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Daripada jumlah itu 95 peratus daripadanya berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia yang majoritinya adalah pasangan beragama Islam.

“Mereka yang datang pada kali ini adalah dari Bahagian Tawau iaitu meliputi dari Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan dan mereka ini warga Indonesia yang bekerja di ladang-ladang sekitar kawasan ini.

“Mendaftar pernikahan ini amat penting kerana hak-hak mereka menurut undang-undang negara Indonesia akan menjadi jelas dan anak-anak mereka juga akan memperoleh hak waris yang sepatutnya,” katanya.

Sulistijo Djati Ismojo (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Ketua Pengadilan Agama Jakarta Pusat, Sirajuddin Sailellah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Sidang Isbat Nikah Tahun 2019 di Konsulat Republik Indonesia Tawau yang turut dihadiri Ketua Pengadilan Agama Jakarta Pusat, Sirajuddin Sailellah.

Jelasnya program Isbat Nikah dijalankan bagi memenuhi pasal 28 D UUD 1945 undang-undang Indonesia iaitu setiap warga berhak mendapat perakuan dan jaminan perlindungan undang-undang negara itu tidak kira di mana mereka berada.

“Jangan anggap remeh berkaitan ketiadaan surat nikah ini sebab kesannya adalah kepada anak-anak yang juga waris, walaupun sudah bernikah secara kampung tetapi perlu diiktiraf menurut undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu Sirajuddin memuji inisiatif yang dijalankan pihak KRI Tawau dalam membantu dalam urusan warga Indonesia untuk mendapatkan surat nikah Indonesia.

“Pasangan warga Indonesia perlu mendapatkan sijil nikah untuk perlindungan undang-undang perkahwinan, jika tidak daftar sepanjang perkahwinan itu tidak sah dari segi undang-undang.

“Sebab itu kami sangat menghargai inisiatif KRI Tawau kerana sijil nikah ini berkaitan dengan perwarisan harta atau tidak boleh mendaftar kelahiran anak untuk kewarganegaraan jika tidak dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pasangan warga Indonesia sama ada pemegang pasport atau bukan yang berada di negeri ini mengambil peluang mendaftar pernikahan mereka secara sah ketika program Isbat Nikah. – SabahNewsToday