Pilih Bahasa

25 bot Pasukan Gerakan Am akan diambil alih Pasukan Polis Marin

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Duapuluh lima bot Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah akan diambil alih Pasukan Polis Marin (PPM) untuk digunakan dalam memantau perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yosuff Mamat berkata proses ambil alih bot terbabit akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri sementara penstrukturan semula dijalankan.

Senior Asisten Komisioner Mohd Yosuff Mamat (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita sedang menjalankan penstrukturan semula bagi menambah bot ronda. Buat ketika ini, kita akan ambil alih 25 bot daripada PGA yang kurang digunakan untuk kegunaan PPM mengawal perairan di Sabah.

“PGA memiliki bot sendiri tapi tidak ada anggota yang diberi tugas untuk menjaga perairan Sabah. Jadi anggota PPM yang akan menjalankan rondaan terutama di kawasan ESSZONE,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Iftar bersama Komander PPM, di Markas Operasi PPM, di sini semalam.

Senior Asisten Komisioner Mohd Yosuff Mamat memberi sumbangan duit raya kepada 47 anak yatim. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Dalam majlis itu, beliau turut memberi sumbangan duit raya kepada 47 anak yatim dan empat ibu tunggal.

Yosuff berkata pihaknya juga sedang giat membanteras kes penyeludupan.

Senior Asisten Komisioner Mohd Yosuff Mamat (tengah) dalam sidang media selepas Majlis Iftar bersama Komander PPM, di Markas Operasi PPM Sandakan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, Ketua Polis Negara baharu ada menekankan supaya kita meningkatkan lagi tangkapan terhadap penyeludupan seperti rokok dan arak.

“Ini kerana penyeludupan adalah satu jenayah ekonomi yang boleh menjejaskan pendapatan negara,”katanya.

Tambahnya, PPM akan memberi perhatian sewajarnya berhubung cubaan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Kita tahu pasti akan ada individu yang cuba keluar ke negara asal pada musim perayaan nanti tanpa dokumen pengenalan diri yang sah melalui perairan kita.

“Jadi kita akan memfokuskan perkara ini kerana ia sudah melanggar peraturan,” katanya. – SabahNewsToday