Pilih Bahasa

25 jelitawan berebut gelaran Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 pada 21 Mac

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pertandingan akhir Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 bakal menyaksikan 25 jelitawan berentap merebut gelaran di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang pada 21 Mac nanti.

Menawarkan hadiah berjumlah lebih RM50,000 pertandingan anjuran Pertubuhan Kebajikan Takad Nabalu ini bertujuan mengumpul dana buat Rumah Kanak-Kanak Bondulu, Toboh Tambunan dan sebuah rumah pastoral yang akan dinamakan kelak.

Presiden Pertubuhan Takad Nabalu Datuk James Ratib (duduk tengah), pengerusi penganjur Jainetha Stephen (duduk empat kanan) serta AJK Takad Nabalu dan sponsor bersama dengan 25 finalis . Gambatr SNT/ Chris Maskilone

Dalam satu sidang akhbar di Hotel Palace di sini Selasa, Pengerusi penganjur Jainetha Stephen berkata menyalur bantuan kepada organisasi kebajikan merupakan antara misi pertubuhan Takad Nabalu yang diketuai oleh Datuk James Ratib.

Seramai 36 gadis berumur dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun menghadiri ujibakat pada di Hotel Palace pada 29 Feb lalu.

“Pada mulanya kami mencari 15 peserta ke pusingan akhir tetapi atas keprihatinan Presiden Takad Nabalu, Datuk James Ratib jumlah itu ditambah kepada 25,” katanya.

Jainetha (kanan) bercakap dalam sidang media di Hotel Palace. Gambar SNT/Ihsan IM

Mereka yang tidak terpilih turut diundang menghadiri pertandingan akhir itu nanti.

Selain memperagakan kecantikan masing-masing, para finalis Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 juga perlu mempersembahkan bakat, kebolehan berbicara dan juga boleh mempromosi Takad Nabalu dengan baik, ujar Jainetha.

Untuk itu, selain mendapat latihan tentang dandanan diri, kesantunan dan berucap di khalayak ramai serta penerangan lanjut mengenai peranan mereka sebagai duta Takad Nabalu nanti mereka juga akan menghadiri sesi motivasi yang difasilitasi oleh Joanna Datuk Kitingan pada 20 Mac.

Sebelum itu pada 19 Mac, lima peserta terbaik akan dipilih untuk mempersembahkan bakat dalam pusingan pertandingan bakat di ITCC nanti.

Antara finalis Miss Takad Nabalu Ambassador 2020. Gambar SNT/Ihsan IM

Jainetha berkata hanya tujuh finalis teratas akan mara ke pusingan penentuan untuk sesi soal jawab. Pemenang akan dimahkotakan oleh Miss Malaysia 2019, Shwetajeet Kaur.

Menurut Jainetha, pemenang Miss Takad Nabalu Ambassador akan diberi latihan lanjut supaya berpeluang mengembangkan bakat di peringkat lebih tinggi.

“Miss Takad Nabalu Ambassador akan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja kebajikan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Takad Nabalu,” katanya.

Finalis Miss Takad Nabalu. Gambar SNT/Ihsan IM

Buat masa ini, lebih kurang 70 peratus daripada 100 meja bagi menyaksikan pertandingan akhir tersebut telahpun dijual.

“Bagi yang berminat untuk menyaksikan pertandingan akhir Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 bolehlah menghubungi Amelia di talian 016-8291550 atau Frolyn di 016-8416373,” kata Jainetha.-SabahNewsToday