Pilih Bahasa

267 pengusaha kelapa sawit di Sabah masih tidak miliki pensijilan MSPO

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tahap kesedaran pengusaha di Sabah berhubung Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) masih ditahap kurang memuaskan iaitu hanya 46 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit mendapat pensijilan sejak 30 Julai lalu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata seramai 267 pengusaha kelapa sawit di Sabah yang memiliki tanah antara 100 hingga 2,000 ekar tidak dapat hubungi hingga kini.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok bergambar kenangan bersama kakitangan MPOB dan peserta yang hadir dalam sesi Taklimat MSPO Bersama Penanam Sawit Sabah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya menyeru supaya persatuan sawit menghubungi mereka kerana Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) tidak dapat mencari mereka dan berharap mereka tampil untuk mendapatkan pensijilan MSPO.

“Bagi SPOC di Tawau, difahamkan hanya 3.7 peratus pekebun kecil dibawa Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) yang diberikan pensijilan MSPO. Ini sesuatu yang sangat membimbangkan saya dan berharap melalui sesi dialog ini, mesej pensijilan daripada MSPO dapat disebarkan kepada pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Sabah, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Industri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), N.Balu, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

Tambahnya, pihak kerajaan juga akan membiayai kos pensijilan berkenaan jika pengusaha mendaftar sehingga hujung tahun ini.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada mereka bahawa jika mereka mahu mendapatkan pensijilan MSPO pada tahun ini, semua kos pensijilan dibiayai oleh kerajaan khususnya pekebun kecil yang memiliki penanaman sawit dibawah 100 ekar.

“Bagi mereka yang memiliki keluasan tanah kecil dan sederhana dibawah 100 ekar hingga 2500 ekar, kos pensijilan dan kos audit dibiayai oleh kerajaan manakala kos persediaan ditanggung 50 peratus. Tawaran ini hanya sampai hujung tahun ini.

“Saya rasa ada juga yang menghadapi masalah ubah syarat tanah. Jadi pejabat MPOB di Sabah akan mengumpulkan semua permohonan yang mempunyai masalah ubah syarat tanah dan bincangkan dengan pihak kerajaan untuk membantu mereka mendapatkan pensijilan MSPO,” jelasnya. –SabahNewsToday