Pilih Bahasa

27 INDIVIDU DITAHAN DALAM OPS SARANG LAHAD DATU

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Polis daerah menahan 27 individu dipercayai terbabit kegiatan berkaitan dadah dalam operasi Ops Sarang di Kampung Desa Bajau semalam. Gambar SNT/ IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis daerah ini menahan 27 individu dipercayai terbabit kegiatan berkaitan dadah dalam operasi Ops Sarang di Kampung Desa Bajau, semalam.

Dilaksanakan bermula 3 pagi sehingga 12.30 tengah hari, tangkapan melibatkan 22 lelaki dan lima wanita terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 15 hingga 58 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata pihaknya turut merampas empat paket plastik lut sinar pelbagai saiz yang mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 11.42 gram dengan nilai dianggarkan RM1,713.

Suspek lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, semalam berikutan kesalahan memiliki dadah jenis syabu. Gambar SNT/ Ehsan IPD Lahad Datu

Nasri berkata pihaknya juga melakukan pemeriksaan ke atas 40 orang individu lain membabitkan 33 lelaki serta tujuh perempuan.

Suspek wanita yang ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, semalam berikutan kesalahan memiliki dadah jenis syabu. Gambar SNT/ Ehsan IPD Lahad Datu

“Operasi ini dilancarkan berdasarkan maklumat risikan dan maklumat awam ke atas beberapa sarang penagih bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya.

“Selain itu, operasi ini juga dijalankan bagi mengenalpasti serta mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan operasi dan berhampiran,” katanya.

Semua 27 individu ditahan yang dipercayai terbabit
kegiatan berkaitan dadah dalam operasi Ops Sarang di Kampung Desa Bajau, Tawau, semalam di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut. Gambar SNT/ IPD Lahad Datu

Sementara itu, Nasri berkata secara keseluruhan Ops Sarang berkenaan berjalan dengan lancar dan tindakan berterusan akan dibuat dari semasa ke semasa. -SabahNews Today