Pilih Bahasa

29 perokok tegar dikompaun merokok di kawasan larangan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Seramai 29 perokok tegar dikenakan kompaun RM250 setiap seorang kerana menghisap rokok di kawasan larangan sekitar daerah ini, semalam.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan,
Johari Awang Besar berkata siri Operasi Banteras Asap Rokok itu membabitkan 35 anggota.

Anggota Kesihatan Kawasan Sandakan menjalankan operasi sekitar daerah Sandakan. Gambar SNT / Pejabat Kesihatan Sandakan

Beliau berkata pihaknya mendapati segelintir perokok masih gagal mematuhi peraturan di kawasan yang diisytihar sebagai kawasan larangan merokok.

“Walaupun papan tanda sudah dipasang di tempat yang mudah dilihat namun masih ramai individu tidak mengendahkan papan tanda larangan berkenaan.

“Sepuluh orang dikesan merokok di kawasan Hospital, sembilan di kompleks membeli-belah, enam di kawasan premis kerajaan manakala empat lagi di kawasan Lapangan Terbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Anggota Kesihatan Kawasan Sandakan memasang pelekat larangan merokok di restoran. Gambar SNT / Ihsan Pejabat Kesihatan Sandakan

Johari berkata semua perokok dikenakan tindakan mengikut peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Mengulas lanjut, Johari turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan larangan merokok di kawasan yang diwartakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang dikenakan.

Menurutnya lagi, operasi sama akan dilaksanakan secara berterusan di semua kawasan yang diwartakan dari semasa ke semasa. -SabahNewsToday