Pilih Bahasa

298 BALAI BOMBA DIARAH SIAP SEDIA HADAPI KEBAKARAN MUSIM PANAS

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sejumlah 298 balai bomba seluruh negara berada dalam keadaan bersedia sedia dalam menghadapi sebarang kebakaran membabitkan kawasan hutan mahupun belukar dan kediaman pada musim panas yang melanda negara pada ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata ia berikutan peningkatan kes sebanyak tiga kali ganda pada Februari berbanding bulan sebelumnya.

Kamarulzaman (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM18,400 kepada tabung Wira Merah melalui Mohammad Hamdan. -Gambar SNT/Alfred Petrus

“Cuaca panas dan kering ini dijangka berpanjangan sehingga April dan setakat ini kita telah melihat kejadian kebakaran hutan yang semakin menjadi-jadi di Semenanjung.

“Pada bulan Februari sahaja, lebih banyak penggilan kecemasan yang melibatkan kebakaran hutan.

“Jadi kita telah mengarahkan seluruh 298 balai untuk bertindak dalam keadaan siap siaga, menyediakan peralatan-peralatan yang memang berkaitan dengan kebakaran hutan dan juga memastikan keanggotaan mencukupi,” katanya dalam satu sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 JBPM Sabah di Hotel Ming Garden, hari ini.

Tambahnya sebanyak 16 Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM seluruh negara juga digerakkan untuk mengambil tindakan segera terhadap laporan kebakaran sebagai langkah segera mencegah kebakaran menjadi lebih teruk.

Mohammad Hamdan (tengah) menyematkan Anugerah Pingat Kebesaran Jabatan kepada salah seorang anggota bomba sambil disaksikan oleh Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah (kiri). Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya, bomba akan bekerjasama dengan agensi lain untuk memastikan kebakaran kecil tidak dipandang remeh.

“Ini termasuk kerja-kerja rondaan dan juga menyediakan sumber tangki air yg mencukupi.

“Penyediaan sumber tangka air ini kita akan bekerjasama dengan lembaga air tempatan dan pada masa yang sama kita akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi mengenal pasti titik panas berlakunya kebakaran,” tambahnya.

Mohammad Hamdan menyarankan supaya hentikan pembakaran terbuka pada masa kini. -SabahNewsToday