Pilih Bahasa

3 nelayan asing ditahan, rampas panah dan dadah

Oleh Junaidi Ladjana

Kudat: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga lelaki warga asing kerana menangkap ikan menggunakan panah, dalam satu siri pemeriksaan berkala, semalam.

Ketiga-tiga nelayan terbabit ditahan sepasukan Maritim Malaysia Kudat, kira-kira jam 10 pagi di kawasan perairan 2.8 Batu Nautika Timur Laut, Pulau Malawali dalam operasi Op Pluto Timur.

Boon Chin Chau (tengah) menunjukkan rampasan selepas menahan tiga nelayan warga asing di kawasan perairan 2.8 Batu Nautika Timur Laut, Pulau Malawali, Kudat. Gambar SNT/Ihsan APMM Kudat

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Boon Chin Chau berkata hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah pam bot itu didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan, APMM turut menemui peralatan menangkap ikan yang dilarang iaitu panah.

“Malah, pemeriksaan menemui satu bungkusan kecil berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan beberapa peralatan yang digunakan untuk menagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Boon berkata hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis metaphetamine.

“Semua tangkapan, pam bot serta segala peralatan menangkap ikan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sehubungan itu, Boon berkata APMM akan sentiasa menjalankan operasi pemeriksaan seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara selamat dari sebarang anasir jenayah yang mampu menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara.-SabahNewsToday