Pilih Bahasa

30 kumpulan berentap di Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-10

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sebanyak 30 buah kumpulan termasuk enam negara luar akan berentap dalam tiga kategori sempena Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-10 bermula esok (9 Julai).

Pasukan negara luar iaitu Uzbekistan, Thailand, Sri Lanka, India, Filipina dan Indonesia bakal bersaing dengan pasukan negara dalam kategori terbuka.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal Alian menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil kumpulan tari Anak Seni Asia dari Kuala Lumpur, Lyana Azmi Othman Merican yang menyertai pertandingan itu pada Majlis Menyambut Kedatangan Peserta Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-10 di pusat membeli belah Oceanus Waterfront, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pasukan negara diwakili oleh empat kumpulan termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tagaps Dance Theatre, Anak Seni Asia dan Fita Dance Theatre.

Seterusnya, lapan buah sekolah dari Sabah akan bertanding dalam kategori Sekolah Rendah.

Sarawak dan Terangganu pula masing-masing menghantar sebuah sekolah untuk bertanding dalam kategori tersebut.

Assaffal Alian menyampaikan sijil penghargaan kepada kareografi SK St Agnes, Muhammad Taufiq Mumbarikusain semasa Majlis Menyambut Kedatangan Peserta Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-10 di pusat membeli belah Oceanus Waterfront, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Manakala, bagi kategori Sekolah Menengah, Sabah turut menghantar lapan buah sekolah, diikuti dengan Sarawak dan Kuala Lumpur yang mana masing-masing menghantar satu pasukan.

Sementara itu, dalam ucapan Majlis Menyambut Kedatangan Peserta Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-10 di pusat membeli belah Oceanus Waterfront, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew memberi penghargaan kepada semua peserta yang terlibat dalam acara tersebut.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata tujuan acara berkenaan dianjurkan antara lain agar para peserta dapat memainkan peranan dalam memelihara dan memulihara warisan budaya khususnya seni tarian.

“Diharap para peserta dapat menghargai dan menjiwai budaya seterusnya lebih bersedia menggalas tanggungjawab sebagai peneraju dan penerus warisan budaya kita.

“Ini juga memberi peluang kepada adik-adik yang masih berada di bangku sekolah agar dapat mengasah dan menonjolkan bakat dalam bidang seni tarian seterusnya boleh bersaing di peringkat antarabangsa pula,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal Alian.

Christina berkata hal itu bukanlah sesuatu yang berada di luar jangkauan pencapaian para peserta kerana sudah banyak contoh yang boleh dilihat sejak kebelakangan ini. -SabahNewsToday