Pilih Bahasa

300 dijangka sertai Salt Trail Challenge 2019

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Anbarasu (empat dari kanan) bersama wakil penganjur dari SSBS COmmunication Team dan Taman-Taman Sabah menunjukkan poster Salt Trial Challenge 2019. – Gambar SNT/Ihsan Mercy Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 300 peserta dijangka menyertai larian Salt Trail Challenge 2019 di Taman Banjaran Crocker Sabah pada 12 Oktober ini anjuran Mercy Malaysia Cawangan Sabah dengan kolaborasi Taman-Taman Sabah, SSBS Communication Team dan Pacost Trust.

Pengerusi Mercy Malaysia Cawangan Sabah (MMSC), Dr Anbarasu Ramalingam berkata ia merupakan penganjuran buat kali keenam berturut-turut oleh MMSC yang memilih tema kali ini iaitu `Manampasi susuyan do gulu gulu’ atau `Menghidupkan kembali Sejarah’.

Menurut Dr Anbarasu, larian itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita yang mana peserta bakal mengharungi larian sejauh 16 kilometer (km) dan 25km larian.

Katanya kesemua peserta akan memulakan larian di Pencawang Inobong namun bakal menamatkan cabaran di lokasi berasingan iaitu Pondok Pogigimpaan bagi jarak 16km dan Kampung Terian bagi 25km.

“Penyertaan telah dibuka kepada orang ramai dan tarikh tutup adalah pada 31 Ogos ini.

“Oleh kerana objektif penganjuran ini adalah untuk mengumpul dana, peserta yang berminat menyertai larian ini akan dikenakan yuran sebanyak RM200 dan RM300 masing-masing bagi kategori 16km dan 25km.

“Bagaimanapun peserta berkumpulan seramai tiga orang yang mendaftar sehingga 31 Ogos layak mendapat diskaun sebanyak 10 peratus,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Anbarasu berkata orang ramai yang berminat dan mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh MMSC pada talian 088 272 667 atau 019 311 6182. – SabahNewsToday