Pilih Bahasa

300 murid Pitas terima bantuan khas persekolahan

Khairuddin (tengah) menyerahkan bantuan khas kepada seorang pelajar. – Gambar SNT/Ihsan Amanah

PITAS: Seramai 300 murid sekolah rendah daripada tiga buah sekolah di daerah ini menerima bantuan khas persekolahan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kudat. 

Mereka menerima bantuan berupa pakaian sekolah dan kelengkapan persekolahan menerusi Program Bantuan Khas Persekolahan Murid Amanah.

Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom, SK Senaja dan SK Mapan-Mapan Pitas.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Khairuddin Daud yang juga Pengerusi Amanah Kawasan Kudat telah menyerahkan bantuan khas itu.

Katanya seramai 300 murid berkenaan terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan terpilih untuk menerima bantuan khas persekolahan.

“Setiap murid menerima pakaian sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan alat tulis bernilai RM 150 seorang”, katanya pada majlis penyerahan Bantuan Khas di SK Rukom di sini, semalam.

Khairuddin (tengah) bergambar bersama murid yang menerima bantuan khas persekolahan. – Gambar SNT/Ihsan Amanah

Dalam pada itu, Khairuddin juga mengingatkan kepentingan pendidikan kepada anak-anak. 

“Ini kerana pendidikan mampu mengubah nasib diri, keluarga, masyarakat dan daerah Pitas. Umum mengetahui Pitas adalah daerah yang termiskin di Malaysia dengan pelbagai kemudahan yang masih kurang berbanding daerah-daerah lain.

“Namun, perkara tersebut harus diambil sebagai cabaran kepada ibu bapa dan warga pendidik untuk terus memastikan anak-anak jati daerah Pitas terus mendapat pendidikan yang terbaik,” tegasnya.

Sempena majlis penyerahan itu, Khairuddin turut mengumumkan sumbangan sebaynak RM1,000 bagi menjayakan Kem UPSR SK Rukom pada tahun ini. – SabahNewsToday