Pilih Bahasa

300 peserta dijangka sertai Tropical Rainforest Run

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Christina (lima dari kanan) menunjukkan poster Tropical Rainforest Run selepas sidang media larian berkenaan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kira-kira 300 peserta dalam dan luar negara dijangka menyertai Tropical Rainforest Run di Taman Bukit Tawau pada 28 September hadapan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata pihaknya setakat ini telah menerima sebanyak 115 penyertaan termasuk dua daripada Kenya.

Christina berkata penyertaan bagi acara berkenaan agak terhad berikutan faktor kali pertama penganjurannya.

“Selain itu untuk memudahkan pihak penganjur untuk memantau pergerakkan peserta yang mengikuti larian agar sentiasa menjaga keindahan alam sekitar di kawasan terbabit.

“Kita mahu semua peserta menghayati dan melihat sendiri kehijauan alam sekitar yang wujud di Taman Bukit Tawau ini secara dekat selain secara tidak langsung melakukan aktiviti sihat bersama rakan-rakan atau keluarga,” katanya ketika sidang media mengumumkan program berkenaan di sini hari ini.

Terbuka kepada penduduk tempatan dan peserta antarabangasa, larian terdiri empat kategori utama seperti Terbuka Lelaki dan Wanita, Veteran Lelaki 40 tahun ke atas dan Wanita 35 tahun ke atas.

Masa diperuntukkan bagi kategori Terbuka Lelaki dan Wanita adalah lima jam tiga pulih minit manakala empat jam tiga puluh minit untuk kategori Veteran Lelaki dan Wanita.

Pemenang utama bagi setiap kategori bakal menerima wang tunai sebanyak RM2,000, tempat kedua akan membawa pulang RM1,500 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM1,000 dan RM300.

Sementara itu, Christina berkata pihaknya menawarkan bayaran yuran penyertaan istimewa sempena Hari Malaysia sehingga 16 September iaitu RM 110 (individu) dan RM200 (kumpulan dua orang ke atas).

“Selepas tarikh ini, harga yuran kembali kepada RM200 seorang.

“Setiap pembayaran, peserta bakal menerima baju-t dan medal penamat sekiranya berjaya menamatkan larian mengikut masa ditetapkan. Tarikh tutup pendaftaran pada 20 Septembet,” katanya. – SabahNews Today