Pilih Bahasa

300 sampel diambil di Pasar Besar Kota Kinabalu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kira-kira 300 sampel diambil untuk ujian saringan Covid-19 di Pasar Besar Kota Kinabalu.

Berlangsung selama dua hari bermula semalam dan hari ini, pengambilan sampel turut membabitkan peniaga pasar ikan  serta pekerja Safma.

Gelagat seorang peniaga menahan kesakitan semasa saringan Covid-19 dijalankan oleh petugas kesihatan di Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pelaksanaan ujian itu dilihat mendapat respon baik dalam kalangan peniagaan malahan ramai yang mahu menjalani pemeriksaan secara sukarela.

Peniaga Pasar Besar Kota Kinabalu, Salmah Belan, 54, mula agak takut apabila diberitahu perlu menjalani ujian saringan Covid-19 namun perasaan itu hilang selepas bertemu pegawai kesihatan bertugas.

Reaksi wajah seorang peruncit, Salmah Belan, 54, ketika ujian saringan Covid-19 oleh petugas kesihatan dibuat di Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya ingat ujian ini mengambil masa lama tetapi kita hanya perlu mengisi borang sebelum anggota kesihatan mengambil sampel daripada hidung.

“Ujian saringan penting kepada orang awam khususnya peniaga di pasar ini kerana kita sering bertemu ramai pelanggan tanpa mengetahui keadaan kesihatan mereka.

Inspektor Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu melakukan dokumentasi keatas peniaga sebelum ujian saringan Covid-19 diambil di Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Apabila menjalani ujian ini, secara tidak langsung kita dapat mengetahui tahap kesihatan diri masing-masing,” katanya sudah lebih 20 tahun berniaga barangan runcit di pasar berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga pasar, Hariyati Samsul, 43, pendekatan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuat ujian saringan seperti itu di kawasan pasar secara tidak langsung membantu golongan peniaga berpendapatan kecil dan sederhana melakukan ujian terbabit.

“Ramai dalam kalangan peniaga di sini mahu membuat pemeriksaan seperti ini tetapi tidak tahu lokasi mendapatkan.

Kira-kira 300 sampel diambil semasa ujian saringan COVID-19 yang dijalankan selama dua hari bermula Sabtu di Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kebanyakan peniaga hanya tahu klinik atau hospital swasta namun harganya terlalu mahal.

“Apabila jabatan kesihatan datang ke pasar ini, kita bukan hanya boleh membuat ujian saringan Covid-19 malahan maklumat berkaitan kesihatan,” katanya yang berniaga buah-buahan. -SabahNewsToday