Pilih Bahasa

300 sertai Unity Walk sempena Kaamatan – Hari Raya Aidil Fitri di Terawi

Oleh Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Program ‘Unity Walk” sempena sambutan Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Terawi berjaya menarik lebih 300 orang di Kampung Terawi, di sini, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah Delin Liet Blaun berkata program kesedaran perpaduan yang julung kali diadakan dalam komuniti ini merupakan anjuran Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan (JPTP) dan Jawatankuasa Rukun Tetanggga (JKRT) Kampung Terawi Penampang dengan kerjasama Cure and Care Services Centre (CCSC) Sabah.

Peserta bergambar sebelum memulakan acara pada program Kaamatan Raya Unity Walk di Kampung Terawih, Penampang. Gambar SNT/Ihsan AADK Sabah

“Program bertemakan ‘Membudayakan perpaduan, meraikan kepelbagaian’ ini merupakan sebuah platform dalam menyampaikan kesedaran tentang kepentingan semangat perpaduan dalam kalangan anak-anak muda selain daripada memberi kesedaran tentang bahaya dadah kepada semua lapisan masyarakat.

“Dalam program ini juga ia mampu memberikan peluang kepada bakal pewaris negara untuk lebih peka dalam cabaran penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah Delin Liet Blaun (tengah) merakamkan gambar bersama pelaksana program Kaamatan Raya Unity Walk di Kampung Terawih, Penampang. Gambar SNT/Ihsan AADK Sabah

“Penglibatan CCSC Kota Kinabalu khususnya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah dalam program ini juga amat sesuai kerana kita boleh bersama-sama memberikan kesedaran tentang bahaya dadah kepada komiuniti setempat,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday.

Program yang bermula seawal 6 pagi itu diisi dengan pelbagai acara termasuklah merentas desa, pertandingan boling buah kelapa, memasak masakan tradisi, acara tarik tali dan beberapa lagi permainan sukaneka.

Turut hadir Penolong Pengarah AADK Sabah, Albert Tian dan Penyelaras CCSC Kota Kinabalu, Rosmah Nasir. -SabahNewsToday