Pilih Bahasa

3,000 penggemar muzik jazz dijangka hadir sempena KKJF 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Jack Ong (tengah) bersama barisan penyanyi yang bakal membuat persembahan sempena KKJF 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lebih 3,000 penggemar muzik jazz dijangka hadir pada Festival Jazz Kota Kinabalu (KKJF) 2019 selama dua hari bermula hari ini.

Memasuki penganjuran edisi ke 13, festival yang berlangsung di gelanggang tenis Sutera Harbour Marina and Country Club, acara selama dua hari itu menampilkan ramai artis jazz tempatan dan antarabangsa termasuklah Rainbow Children, Xianghai Divas, SWAG, Blues Summit, Q Sound dan Take 2.

Pengerusi Penganjur KKJF, Jack Ong berkata pihaknya mensasarkan jumlah penonton yang sama seperti tahun lalu namun pastinya mengharapkan lebih ramai daripada tahun sebelumnya.

“Kita bukan hanya mensasarkan penggemar muzik jazz sahaja malahan keseluruhan pencinta muzik tempatan di negeri ini selain negeri serta negara berhampiran.

“Penjualan tiket yang sangat memberangsangkan sehingga ke saat ini juga antara faktor kita yakin festival ini diterima baik masyarakat.

“kita yakin penonton bukan sahaja boleh berhibur malahan mampu lebih memahami apa dimaksudkan dengan muzik jazz itu sendiri.

“Selain itu, penganjuran festival muzik seumpama ini dilihat adalah antara platform terbaik bagi pemuzik jazz memperkenalkan muzik masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sidang media KKJF 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Penganjur KKJF 2019, Roger Wang.

Dalam pada itu, Ong berkata pihaknya turut memberi peluang kepada tiga kumpulan jazz yang bakat mereka dicungkil dari pencarian KK Jazz Talent Search.

“KK Jazz Talent Search itu sendiri mampu mencungkil lebih ramai bakat muda dalam bidang seni di negeri ini.

“Program pencarian bakat berkenaan terbuka kepada kumpulan tempatan Sabah untuk mempamerkan bakat nyanyi serta bermain muzik,” katanya. – SabahNewsToday