Pilih Bahasa

32 peserta termasuk pengamal media sertai Kejohanan Menembak TLDM

Oleh Alfred Petrus

Khalid Jaafar (tengah) bersama Panglima Briged Kelima Infantri Brig Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan bergambar beramai sebelum Kejohanan Menembak TLDM Antara Agensi dan Rakan Media dimulakan di Lapang Sasar, Pangkalan Tentera Laut Kota Kinabalu, Sepanggar. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 32 orang peserta menyertai Kejohanan Menembak Bersama Agensi dan Rakan Media anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini.

Kejohanan yang dijalankan seawal pukul 8 pagi itu antara lain adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim antara pasukan keselamatan dan agensi yang sudah lama terjalin.

Aksi peserta dalam Kejohanan Menembak TLDM Antara Agensi dan Rakan Media di Lapang Sasar, TLDM Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan peserta

Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Muda Khalid Jaafar berkata pertandingan tersebut sudah pasti menjadi penganjuran tahunan melibatkan agensi-agensi yang sentiasa bekerjasama dengan TLDM termasuk pengamal media.

“Saya harap, penganjuran akan datang, lebih ramai pengamal media menyertai kejohanan ini.

“Dalam tugas menjaga keamanan negara, pengamal media banyak membantu TLDM dalam menyebarluaskan pencapaian serta aktiviti-aktiviti kami selama ini.

Aksi peserta dalam Kejohanan Menembak TLDM Antara Agensi dan Rakan Media di Lapang Sasar, TLDM Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan peserta

“Dengan adanya program seumpama ini yang menjadi satu platform untuk beramah mesra, sudah pasti objektifnya tercapai selain menghargai masa dan tenaga rakan media kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kejohanan Menembak Bersama Agensi dan Media TLDM di Kompleks Menembak Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Khalid Jaafar (kanan) bergambar bersama Muhammad Hafizuddeain pada Kejohanan Menembak TLDM bersama Agensi dan Rakan Media di Lapang Sasar, Pangkalan Tentera Laut Kota Kinabalu, Sepanggar. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, dalam pertandingan berkenaan, kesemua 32 peserta melibatkan 10 anggota TLDM, sembilan peserta dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 13 pengamal media.

Kesemua peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan campuran melalui cabutan undi bagi Pertandingan Tembak Piring.

Pengamal media bergambar sebelum memulakan sesi latihan menembak. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Selain itu, selesai Pertandingan Tembak Piring yang dimenangi oleh kumpulan C, kejohanan tersebut turut membuka penyertaan bagi Pertandingan Tembak Tepat (Perseorangan).

Pada pertandingan berkenaan, Khalid dan Bintara Muda Maritim Azhar Salleh dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Tembak Tepat. -SabahNewsToday