Pilih Bahasa

35 rumah perkampungan atas air di Sandakan, musnah terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

SANDAKAN: Sebanyak 35 rumah musnah dalam kebakaran di kawasan perkampungan atas air di Kampung Bugaya, dekat Batu Sapi, di sini tengah malam tadi.

Kejadian itu mengakibatkan lebih 100 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan masing-masing.

Api menjulang tinggi dalam kebakaran yang memusnahkan 35 rumah atas air di Kampung Bugaya, Batu Sapi, Sandakan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam.

Katanya, seramai 24 anggota termasuk lima pegawai bersama dua jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT), satu Water Tanker dan unit EMRS serta empat kenderaan utiliti pelbagai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian operasi pemadaman dilakukan dan kebakaran membabitkan perkampungan atas air yang mana memusnahkan 35 rumah jenis tidak kekal sepenuhnya dengan anggaran keseluruhan kawasan seluas 0.6 hektar.

Keadaan rumah selepas kebakaran tengah malam tadi di perkampungan atas air di Kampung Bugaya, Batu Sapi, Sandakan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Dalam operasi itu seorang anggota Rela tidak sedarkan diri ketika menjalankan tugas dan diberi rawatan awal oleh anggota unit EMRS sebelum dihantar ke hospital.

“Keadaan mangsa bagaimanapun dilaporkan stabi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 2.35 pagi sebelum tamat sepenuhnya jam 5.19 pagi tadi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran itu turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). -SabahNewsToday