Pilih Bahasa

350 kilogram sampah dikutip sepanjang Pantai Awam Sutera Harbour Resort serta Pulau Sulug

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Lebih 130 sukarelawan menyertai Projek Mengekalkan Warisan Marin Kota Kinabalu di Pantai Awam Sutera Harbour Resort serta Pulau Sulug. – Gambar SNT/Ihsan Sutera Harbour Resort

KOTA KINABALU: Lebih 350 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip sepanjang Pantai Awam Sutera Harbour Resort serta Pulau Sulug di Taman Tunku Abdul Rahman menerusi Projek Mengekalkan Warisan Marin Kota Kinabalu.

Dianjurkan Sutera Harbour Resort (SHR) dan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebahagian besar sampah berkenaan terdiri dari 2,281 botol plastik.

Penyelaras Program Pelancaran Projek Mengekalkan Warisan Marin Kota Kinabalu yang juga Ketua Program Sains Marin, Fakulti Sains dan Sumber Asli UMS, Dr Chen Cheng Ann berkata objektif utama program berkenaan adalah untuk mengindahkan keadaan pantai sekitar bandar raya selain mewujudkan kesedaran awam dalam menangani pencemaran plastik terutamanya di kawasan hidupan marin.

Sukarelawan menyertai Projek Mengekalkan Warisan Marin Kota Kinabalu di Pantai Awam Sutera Harbour Resort serta Pulau Sulug menunjukkan sampah terkumpul yang dikutip semasa program pembersihan pantai. – Gambar SNT/ Ihsan Sutera Harbour Resort-

“Kempen pembersihan pantai sudah menjadi aktiviti di seluruh dunia namun hakikatnya ia hanya membuang sebahagian kecil sampah.

“Walaupun kesannya mungkin hanya mengurangkan kuantiti kotoran laut dalam skala kecil tetapi sekurangnya kita ada usaha membersihkan pantai kita.

“Jika kita berhenti membuang sampah maka tiadalah sampah. Oleh itu, marilah kita wujudkan jalan lebih baik untuk membina masa depan mampan bagi melindungi bumi ini demi generasi akan datang,” katanya selepas program terbabit, semalam.

Sebahagian sukarelawan Projek Mengekalkan Warisan Marin Kota Kinabalu mengutip sampah yang terdapat di Pantai Awam Sutera Harbour Resort serta Pulau Sulug dalam Taman Tunku Abdul Rahman. – Gambar SNT/Ihsan Sutera Harbour Resort

Memasuki penganjuran kali kedua, program terbabit disertai 131 sukarelawan terdiri daripada beberapa institusi pengajian tinggi termasuklah BMRI, UMS, Management and Science University College (MSU), Yayasan Kolej Universiti Sabah, Universiti Kebangsaan Taiwan Ocean University dan kakitangan Taman-Taman Sabah serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Projek Mengekalkan Warisan Marin Kota Kinabalu adalah program konservasi marin yang dimulakan pada tahun 2015 dan dilancarkan pada Mac 2018.

Sementara itu, Ketua Bahagian Taman Laut (Penyelidikan dan Pendidikan) Taman-Taman Sabah, Nasrulhakim Maidin memuji usaha  SHR dan UMS berkenaan dan berharap ia dilaksanakan secara berterusan. – SabahNewsToday