Pilih Bahasa

357 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Sabah bertugas menjelang Aidilfitri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Seramai 357 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) negeri Sabah akan bertugas mengawal perairan bermula bulan ramadan hingga Hari Raya Aidilfitri.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pelan Operasi Khas sudah bermula bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan berlaku di negeri ini.

Mohamad Pajeri ketika ditemui pemberita. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Sabah mempunyai kekuatan seramai lebih 900 anggota dan pegawai manakala aset yang kita ada lebih 90 buah untuk menjaga perairan Sabah.

“Sepanjang bulan ramadan ini, kita membuat pelan Operasi Khas hingga Hari Raya Aidilfitri dimana 25 bot ronda akan menjaga perairan Labuan, Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau dengan kekuatan 357 pegawai serta anggota,”katanya.

Pegawai dan Anggota Pasukan Polis Marin solat maghrib yang diimamkan oleh Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Berbuka Puasa PPM Bersama Media di Pulau Bai, di sini semalam.

Mohamad Pajeri berkata buat pertama kalinya majlis berbuka puasa di kapal ronda PSB2 diadakan bersama pegawai, anggota dan pihak media.

“Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk meraikan pihak media bersama PPM disamping melihat suasana sebenar operasi marin terutama sekali di bulan ramadan.

Sesi bergambar media bersama Pegawai dan Anggota PPM di atas Kapal Ronda PSB2, di Pulau Bai Sandakan. Gambar SNT / Ihsan Bernama

“Di Sabah ini peranan kita amat berat berbanding dengan wilayah-wilayah lain di seluruh Malaysia.

“Kepada pegawai dan anggota yang bertugas sepanjang bulan ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, saya ingin mengucapkan selamat bertugas. Kami sentiasa mendoakan keselamatan anggota yang bertugas dan keluarga mereka. Kami menghargai segala pengorbanan anda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PPM Wilayah Empat Sabah, AB Rahman Mat Hasan berkata realiti sebenar tugas PPM dapat dilihat di Sabah dimana pelbagai ancaman daripada pihak luar boleh berlaku berbanding di wilayah-wilayah lain.

Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PPM Wilayah Empat Sabah, AB Rahman Mat Hasan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Membanteras jenayah rentas sempadan memang jadi fokus kepada kita seperti penculikan dan pencerobohan.

“Kepada pegawai dan anggota yang bertugas, saya selalu ingatkan mereka supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang akan mereka hadapi,” katanya.-SabahNewsToday