Pilih Bahasa

36,000 pelajar nikmati manfaat program PESP Petronas

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Petronas komited dalam melaksanakan program penajaan pendidikannya bagi memastikan pelajar yang layak di Sabah diberikan peluang mencapai kecemerlang mereka dalam pendidikan.

Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata syarikat itu percaya bahawa ia merupakan satu bentuk pelaburan yang membolehkan pelajar meneroka potensi dan akhirnya menjadi tenaga kerja profesional dan mahir di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima cenderahati dariapda Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di Grand Ballroom, Hotel Marriot, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut beliau, hingga hari ini lebih 36,800 pelajar cemerlang di negara ini telah menerima manfaat daripada Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) membabitkan nilai tajaan lebih RM3.3 bilion.

“Tahun ini PESEP telah menerima lebih 7,355 permohonan dan daripada jumlah ini seramai 1,787 calon telah disenarai pendek dan dipanggil menghadiri sesi ujian serta temuduga yang dikenali sebagai Petronas Youngstars Day pada pertengahan April lalu.

“Seramai 28 pelajar dari Sabah telah terpilih untuk menerima tajaan PESP tahun ini dengan jumlah tajaan bernilai RM5.8 juta,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di sini hari ini.

Seramai 150 pelajar termasuk 28 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang negeri itu menerima tajaan Petronas yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman.

Ahmad Nizam berkata tajaan itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan bagi melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka seluruh dunia termasuklah Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Kata beliau lagi peruntukan itu diteruskan kerana Petronas yakin para pelajar sebagai pelapis tenaga kerja profesional negara perlu dibantu untuk mengekalkan kemampanan landskap ekonomi negara.

Tambah beliau lagi pelbagai program berteraskan pendidikan dilaksanakan di Sabah antaranya Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) yang memberi manfaat kepada lebih 800 anak-anak Sabah sejak 2003.

Ini diikuti oleh Program Sekolah Amanah Satu atau Trust School menerusi kerjasama dengan Yayasan Amir melibatkan lima buah sekolah dalam Kluster Kimanis untuk tempoh 2015 hingga 2019 bertujuan memacu transformasi sekolah awam. – SabahNewsToday