Pilih Bahasa

40 pelajar pertama daftar kursus baharu UMS

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menawarkan kursus baharu di bawah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Naib Canselor UMS, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata melalui kursus berkenaan, UMS menempatkan 40 pelajar pertama yang akan mengambil kursus Ijazah Sarajan Muda Sains Komputer (Sains Data).

Taufiq (dua kiri) melihat sendiri proses pendaftaran yang dilakukan oleh pelajar baharu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Usaha ini sebagai persediaan UMS terhadap anak Sabah dan pelajar luar dalam memghadapi Revolusi Industri 4.0 kelak yang memerlukan big data.

“Siswazah-siswazah akan mengikuti pengajian kursus ini selama empat tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 2019/2020 UMS, di Kolej Kediaman E UMS, hari ini.

Sementara itu, katanya seramai 4,362 pelajar baharu ditawarkan melanjutkan pengajian pada sesi berkenaan.

“Jumlah tersebut merangkumi 2,670 (59 peratus) pelajar Sabah, 1,690 (39 peratus) dari Sarawak dan Semenanjung serta 102 (dua peratus) pelajar antarabangsa.

“Pelajar antarabangsa itu berasal dari 14 buah negara iaitu China seramai 72 orang, Brunei (sembilan orang), Indonesia (enam orang), Bangladesh (tiga orang), Korea Selatan (dua orang), Hong Kong (dua orang) dan masing-masing seorang dari Jepun, Filipina, Afrika Selatan, Gabon, Yemen, Maldives, Mesir dan Pakistan,” katanya.

Tambahnya UMS turut menawarkan 178 tempat kepada pelajar kurang berkemampuan berdasarkan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan melepasi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan UPU.

Tahun ini, Taufiq berkata UMS juga turut menerima kemasukan lapan pelajar dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mana secara keseluruhan seramai 36 pelajar OKU berdaftar secara keseluruhan di UMS.

“Kelapan-lapan pelajar ini ditempatkan di tingkat bawah Kolej Kediaman Tun Fuad untuk memudahkan pergerakan selain disediakan kenderaan khas untuk menghadiri kuliah,” jelasnya. -SabahNewsToday