Pilih Bahasa

400 kenderaan 4WD sertai Borneo Safari edisi ke-29

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sebanyak 400 buah kenderaan pacuan empat roda yang diubahsuai untuk sukan motor ekstrim, Cabaran Borneo Safari edisi ke-29 tahun 2019 dilepaskan di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah, di Jalan Gaya, pagi tadi.

Konvoi terbesar pacuan empat roda itu dilepaskan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew bersama tetamu undangan melakukan flag-off Borneo Safari Sabah 2019 di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah di Jalan Gaya, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata edisi kali ini disertai seramai 1,220 peserta termasuk ahli keluarga dan pengamal media bermula pada hari ini sehingga 3 November.

“Ini juga merupakan pencapaian bersejarah buat negeri ini dan pihak penganjur, Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), kerana berjaya menganjurkan ekspedisi dan pertandingan pacuan empat roda terbesar di Malaysia sejak 1991.

Sebanyak 400 buah kenderaan pacuan empat roda melibatkan 1,220 peserta Borneo Safari Sabah 2019 dilepaskan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah di Jalan Gaya, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Acara disertai oleh beberapa buah kelab pacuan empat roda dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta dari beberapa negara luar seperti Perancis, Jepun, China, Sepanyol, Filipina, Indonesia, Thailand, dan Australia serta Rusia,” katanya dalam satu kenyataan.

Borneo Safari tahun ini turut menyaksikan penyertaan julung kali peserta wanita dari negara Filipina, Karen Pagquil dan Jezza Mae Lim. -SabahNewsToday