Pilih Bahasa

41 penagih, pengedar dadah ditahan di kawasan Kota Kinabalu

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seramai 41 penagih dan pengedar dadah ditahan dalam operasi selama seminggu yang berakhir, Jumaat lalu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu menumpukan beberapa lokasi yang dikenalpasti.

Polis menahan dua individu disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sepanjang operasi berkenaan, enam ditahan atas kesalahan mengedar dadah.

Katanya semua enam individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sepuluh individu ditahan kerana memiliki dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Selebihnya 25 individu ditahan atas kesalahan positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata seramai 38 individu yang ditahan adalah warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing dengan lingkungan usia 18 hingga 55 tahun.

Selain itu katanya, hasil operasi berkenaan, polis turut berjaya merampas 18.39 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,839 berdasarkan harga pasaran semasa.

Individu yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Sementara itu, Habibi berkata operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Katanya dalam usaha itu, kerjasama orang ramai juga amat diperlukan menerusi penyaluran maklumat untuk tindakan segera.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian 088-529220 atau ke akaun Facebook page IPD Kota Kinabalu,” katanya. – SabahNewsToday