Pilih Bahasa

43 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Lahad Datu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Kebakaran yang memusnahkan 43 buah rumah di Jalan Silam Lama Kampung Teck Guan Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

LAHAD DATU: Nasib malang menimpa 43 keluarga apabila kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Jalan Silam Lama Kampung Teck Guan dekat sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran yang memusnahkan sebanyak enam buah rumah termasuk dua rumah pekerja itu

Menurut jurucakap itu pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran tersebut kira-kira pukul 8.27 malam dan bergegas ke lokasi kejadian sejauh tiga kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu.

Api marak dan memusnahkan rumah penduduk di Jalan Silam Lama Kampung Teck Guan Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

“Sebanyak enam buah jentera penyelamat dan seramai 31 anggota termasuk pasukan dari BBP Kunak menjalankan operasi memadam kebakaran. 

“Kebakaran memusnahkan dua blok rumah yang membabitkan 20 pintu dan empat rumah termasuk rumah pekerja terbakar. Operasi terkawal sepenuhnya pada pukul 11.35 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata rumah yang terbakar masing-masing membabitkan dua buah rumah penduduk dan dua rumah sewa jenis 15 pintu dan dua lagi rumah pekerja jenis lima pintu.

Rumah penduduk di Jalan Silam Lama Kampung Teck Guan Lahad Datu musnah dijilat api. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

Beliau berkata setakat ini seramai 29 ketua keluarga sudah memberi maklumat mengenai jumlah ahli keluarga mereka manakala selebihnya masih belum dikenalpasti berikutan menetap bersama ahli keluarga mereka di sekitar daerah itu. 

“Seramai 29 keluarga yang sudah dikenalpasti ditempatkan di pusat pemindahan sementara. 

“Empat keluarga (23 orang) ditempatkan di Masjid Nurul Ibadah Kampung Teck Guan, 12 keluarga (30 orang) di kilang Lahad Datu Tyre dan 13 keluarga (69 orang) di Gereja St Dominic Lahad Datu,” katanya. – SabahNewsToday