Pilih Bahasa

44 pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti negeri dalami ilmu keusahawanan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Sarifuddin (dua dari kanan) melihat produk Usahawan Inkubator Bilis yang dipasarkan Politeknik Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Media Politeknik

TAWAU: Seramai 44 pelajar berjaya menamatkan kursus Start-Up Bootcamp Usahawan Inovasi Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Sabah 2019 yang dijalankan selama empat hari bermula 21 Ogos lalu.

Pengarah Politeknik Tawau, Ulaimi Yahya berkata kursus berkenaan memberi pendedahan terhadap peserta mengenai aktiviti keusahawanan terutamanya dalam bidang inovasi.

“Program seperti ini turut memberi peluang kepada peserta untuk menjalankan aktiviti berasaskan keusahawanan ketika mereka masih dalam pengajian.

Sarifuddin (tiga dari kiri) menerima cendera kenangan berupa produk inovasi bilis Politeknik Tawau daripada Ulaimi. – Gambar SNT/Media Politeknik Tawau

“Ia juga sekaligus melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan dalam bidang keusahawanan supaya mereka memiliki nilai tambah yang akan dapat diaplikasikan selepas bergraduasi,” katanya ketika berucap sempena Program Start-Up Bootcamp Usahawan Inovasi Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Sabah 2019 “ Entrepreneurship Innovation, Enhance Community” dan Pelancaran Usahawan Inkubator Bilis Tawau.

Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai, Sarifuddin Hata di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau di sini hari ini.

Antara kurus yang dijalankan dalam program berkenaan adalah Pengenalan kepada Usahawan Inovasi,  Pengenalan kepada Business Model Canvas dan Tatacara Penulisan Rancangan Perniagaan (RP).

Sarifuddin (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar yang menyertai kursus tersebut. – Gambar SNT/Ihsan Media Politeknik

Sementara itu, Sarifuddin Hata berkata usahawan pada masa kini juga boleh dianggap seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimanapun, beliau berkata usahawan berkenaan perlu memastikan bahawa perniagaan mereka bergerak seiring dengan teknologi masa kini disamping menjaga kelestarian alam sekitar.

“Sebagai langkah melahirkan ekosistem industri yang lestari, sudah sampai masa untuk kita lahirkan usahawan berinovasi, usahawan yang mempunyai pengetahuan luas serta kepakaran yang pelbagai. 

“Tidak hanya tertumpu dengan sumber dan teknologi sedia ada tetapi mampu mewujudkan peluang perniagaan yang pelbagai dengan menggunakan sumber yang sedia ada,” jelasnya. – SabahNewsToday