Pilih Bahasa

46 PREMIS KILANG DIGEMPUR OPS PATUH JTK SABAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sebanyak 14 notis pematuhan dikeluarkan terhadap majikan dalam OPS Patuh yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah serentak di seluruh negeri selama dua hari yang berakhir semalam.

Menurut kenyataan JTK, notis tersebut dikeluarkan atas pelanggaran undang-undang di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara melalui operasi penguatkuasaan yang dikelolakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JTK Sabah.

Pegawai Bahagian Penguatkuasaan JTK yang menjalankan pemeriksaan di salah sebuah kilang dalam Ops Patuh JTK Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JTK Sabah

“Sebanyak 46 premis kilang telah diperiksa melalui Ops Patuh yang bermula pada 18 Februari lalu ke atas kilang-kilang di negeri ini.

“Sehubungan itu, majikan terbabit dikehendaki mengambil tindakan pembetulan yang sewajarnya. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan yang didapati melanggar peruntukan yang berkaitan,” ujar JTK.

JTK menjelaskan, antara kesalahan yang dikesan adalah seperti kegagalan majikan menyimpan daftar peribadi pekerja, kegagalan majikan menyimpan daftar terma dan syarat penggajian, kegagalan majikan menyimpan daftar gaji dan elaun.

Selain itu kesalahan lain yang dikesan ialah kegagalan memberi cuti tahunan, kegagalan majikan memberi daftar gaji kepada pekerja, kegagalan menyimpan daftar cuti bersalin, kegagalan memberikan cuti sakit, membuat potongan gaji selain daripada potongan yang dibenarkan dan kegagalan membayar gaji minimum.
  
Tambah jabatan itu lagi, operasi serentak di seluruh Sabah itu dilaksanakan setiap bulan di samping operasi-operasi penguatkuasaan biasa untuk memastikan pematuhan undang-undang perburuhan dalam kalangan majikan dan memelihara hak-hak pekerja di bawah undang-undang berkenaan dalam sektor terbabit yang kebanyakkannya menggajikan ramai pekerja. – SabahNewsToday

-end