Pilih Bahasa

46 PTI Indonesia ditahan Esscom

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pendatang asing tanpa izin (PTI) yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas Esscom. – Gambar SNT/Ihsan Esscom

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PTI) warganegara Indonesia dalam Operasi Bersepadu Khas, di Batu 8 Jalan Apas, di sini semalam. 

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan empat anggotanya bersama empat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau membuat serbuan di kawasan itu disyaki menjadi tempat pendaratan dan persembunyian PTI. 

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan seramai 48 individu warganegara Indonesia diperiksa dan daripada jumlah itu, 46 ditahan atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki, 15 perempuan dewasa, empat kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki berusia satu hingga 59 tahun. 

“Semua mereka dipercayai masuk secara haram menggunakan laluan yang tidak diwartakan iaitu kawasan Sungai Nyamuk, Indonesia sebagai lokasi persembunyian atau transit sebelum masuk secara haram ke negara ini melalui laluan tikus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Hazani berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut. 

Katanya kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Jelasnya lagi, pihak Esscom memerlukan kerjasama dan sokongan orang ramai termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau yang melanggar undang-undang negara terutama berhubung isu pemerdagangan orang dan penyeludupan barangan bersubsidi.

Menurutnya Esscom dari semasa ke semasa akan sentiasa mempergiatkan operasi itu termasuk Operasi Bersepadu Khas bagi mengekang dan membendung kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang-barang kawalan dan bersubsidi ke negara jiran. – SabahNewsToday