Pilih Bahasa

460 sertai kursus pendek anjuran Kolej Komuniti Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seramai 460 peserta terdiri daripada penduduk kampung, alumni kolej komuniti dan pelajar Kolej Komuniti Tawau berpeluang menyertai kursus pendek dalam meningkatkan kemahiran yang diminati.

Program berlangsung selama dua hari yang berakhir hari ini menyediakan sembilan kursus iaitu kursus penghasilan roti, asas kemahiran, Microsoft Office, pembuatan roti canai dan asas servis motosikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata menyampaikan cendera kenangan kepada wakil peserta kursus jangka pendek anjuran Kolej Komuniti Tawau bersama penduduk Kampung Pasir Putih Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut diadakan kursus pengurusan jenazah bagi memberi ilmu fardu kifayah kepada setiap umat Islam, asas pendawaian elektrik, asas penyelenggaraan penghawa dingin dan motovasi pelajar.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata berkata program berkenaan bertepatan dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran, dan berintegriti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya ia sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara dalam mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Kursus ini dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kolej Komuniti Tawau Sabah (KKTS) Cakna @ Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2019 yang turut dihadiri Pengarah Kolej Komuniti Tawau, Sofian Mohd di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Putih, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai memuji aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh pelajar, pensyarah dan alumni dalam membaikpulih pendawaian empat rumah di Kampung Pasir Putih.

“Difahamkan empat rumah terpilih untuk pelaksanaan aktiviti membaikpulih pendawaian dengan kerjasama pelajar Sijil Teknologi Elektrik, pensyarah dan alumni Kolej Komuniti Tawau.

“Aktiviti CSR ini secara langsung mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej Kolej Komuniti Tawau sebagai institusi peneraju TVET,” jelasnya. – SabahNewsToday