Pilih Bahasa

465 murid sertai Kejohanan Merentas Desa SK Sri Gaya

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Alhazmi Abddullah (dua kiri) bersama Mohammad Arif melakukan pelepasan murid Tahap Dua yang menyertai aktiviti Merentas Desa sejauh 4.2 Kilometer di pintu masuk SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 465 peserta yang terdiri daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam menyertai Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, hari ini.

Dianjurkan buat kali ketiga, semua murid perlu mengikuti laluan ditetapkan sejauh 4.2 kilometer yang bermula di perkarangan sekolah.

Guru Besar SK Sri Gaya, Alhazmi Abdullah berkata pihaknya dapat melihat tahap kecergasan semua murid kian bertambah berbanding acara sama tahun lalu.

“Kita dapat lihat murid-murid ini bersemangat mengikuti aktiviti merentas desa hingga ada yang hadir bersama ibu atau ayah masing-masing.

“Selain itu, sewaktu murid tahap dua melakukan program merentas desa, semua murid tahap satu terdiri daripada tahun satu, dua dan tiga mengikuti ceramah yang diberikan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Kinabalu.

Gelagat murid yang menamatkan larian Merentas Desa Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pelbagai pengisian kita ketengahkan dalam ceramah ini termasuklah motivasi dan kerjaya,” katanya selepas acara pelepasan, dekat sini, pagi tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya, Mohammad Arif Sakaran.

Alhazmi berkata perkara lebih membanggakan apabila sekolahnya dinobatkan tempat ketiga kategori lelaki berkumpulan selain tempat keempat untuk kategori individu daripada 60 buah sekolah rendah di daerah Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Seorang murid dirawat oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas menamatkan larian Merentas Desa SK Sri Gaya sejauh 4.2 Kilometer. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata pencapaian terbabit antara terbaik ketika ini kerana SK Sri Gaya tahun sebelumnya hanya mampu meraih kedudukan antara di bawah. 

Sementara itu, Mohammad Arif berkata pihaknya sentiasa komited bekerjasama dengan pihak sekolah dalam pelbagai aktiviti dilaksanakan.

“Kita dapat lihat ramai ibu bapa turut serta hadir pada hari ini malahan terdapar antara mereka menyertai kejohanan merentas desa kita hari ini.

“Inilah semangat yang kita mahu daripada ibu bapa kerana kejayaan seseorang anak itu bukan hanya diletakkan pada bahu guru tetapi haruslah berjalan seiring daripada semua pihak,” katanya. – SabahNewsToday