Pilih Bahasa

4,666 tesis pelajar BKNS bakal ditempatkan di perpustakaan khas tahun depan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Perpustakaan Negeri akan membuka satu lagi cawangan khasnya bagi menempatkan sebanyak 4,666 penulisan-penulisan ilmiah (tesis) pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tajaan kerajaan negeri.

Timbalan Pengarah Kanan, Perpustakaan Negeri Sabah, Maria Sinti berkata langkah berkenaan selaras dengan fungsi institusi berkenaan yang mana peranannya telah diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi (K-Pi).

Maria (empat kiri) menerima senarai 4,666 dari Ketua Penolong Setiausaha K-Pi, Ajijah Talip (empat kanan) sambil disaksikan oleh Moira (lima kanan). Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya sebagai cadangan, perpustakaan berkenaan akan diwujudkan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada tahun hadapan.

“Kesemua tesis ini adalah yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang mendapat Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

“Dan ini adalah kali pertama kajian-kajian ilmiah ini diserahkan kepada Perpustakaan Negeri Sabah.

“Antara lain usaha ini adalah bagi memberi peluang kepada pelajar, penyelidik mahupun kakitangan awam untuk membuat rujukan terhadap mana-mana kajian yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu Majlis Penyerahan Tesis Pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Tajaan Kerajaan Negeri Kepada Perpustakaan Negeri Sabah di Perpustakaan Negeri, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap K-Pi , Moira David berkata memandangkan BKNS mula diletakkan di bawah kementerian berkenaan sejak 1 Januari lalu, tesis-tesis berkenaan turut diserahkan kepada K-Pi daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.

“Oleh itu, ini antara satu inovasi yang kita lakukan untuk menyerahkan kajian-kajian anak Sabah yang menerima tajaan pendidikan kepada Perpustakaan Negeri dan menyediakan satu lagi perpustakaan khas.

“Kesemua tesis-tesis yang diterima ini adalah penulisan sejak dari tahun 2015 sehingga 2018 yang dihasilkan oleh pelajar tajaan dalam negeri sahaja,” jelasnya.

Tambahnya keluasan perpustakaan khas bagi menempatkan tesis-tesis berkenaan adalah kira-kira 6,000 kaki persegi. -SabahNewsToday