Pilih Bahasa

47 kes baharu COVID-19, tiada kluster baharu dicatatkan hari ini – KP Kesihatan

Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Kes baharu COVID-19 kekal dua digit dengan 47 kes dilaporkan membabitkan 45 kes penularan tempatan dan dua kes import hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah penularan tempatan 28 kes adalah warganegara dan 17 kes bukan warganegara, manakala kes import melibatkan dua kes bukan warganegara dari Maldives (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Maghribi (satu kes di Selangor).

Jelasnya jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 9,915 kes dan jumlah kes aktif kebolehjangkitan COVID-19 adalah 591 kes.

“Sehingga kini terdapat sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat tujuh kes pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 9,196 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau tiada pertambahan kes kematian menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu kekal 128 kes.

— BERNAMA