Pilih Bahasa

48 PTI DITANGKAP DALAM OPS BERSEPADU DI LABUAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

LABUAN: Seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PTI) warganegara Filipina ditahan dalam Ops Bersepadu Pendatang Asing Tanpa Izin di wilayah persekutuan ini, semalam.

Dalam operasi yang dilaksanakan antara jam 1 sehingga 2.40 pagi itu, semua PTI berkenaan terdiri daripada sembilan lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 14 kanak-kanak perempuan berusia antara satu tahun sehingga 52 tahun.

Seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina ditahan dalam Ops Bersepadu Pendatang Asing Tanpa Izin di Labuan, semalam. Gambar SNT/ Ihsan IPD Labuan

Disertai 34 orang pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, operasi dilaksanakan di Kampung Bebuloh Laut.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata hasil serbuan di lokasi berkenaan, pihaknya berjaya membuat tangkapan ke atas 53 individu yang dipercayai mencurigakan.

“Semua individu berkenaan di bawa ke balai polis Labuan bagi tujuan saringan dokumentasi.

“Bagaimanapun, selepas saringan dilaksanakan, kita mendapati hanya seramai 48 orang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Antara PTI yang ditahan. Gambar SNT/Ihsan IPD Labuan

“Semua PATI terbabit sudah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala lima lagi dokumen yang diragui dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi pemeriksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata operasi terbabit dijalankan untuk mencegah dan menangani kadar jenayah dengan mengesan serta menangkap penjenayah yang dikehendaki termasuklah ahli militan, pengedar dan penagih dadah serta pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen sah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, secara keseluruhannya, operasi itu berjalan mengikut perancangan yang sudah ditetapkan.

Beliau berkata tiada sebarang kejadian diingini berlaku sepanjang operasi bersepadu ini dijalankan dan keadaan keselamatan semua petugas dalam keadaan baik serta terkawal.

Sementara itu, Muhamad Farid meminta orang awam khususnya menetap di wilayah persekutuan berkenaan supaya sentiasa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah agar dapat membantu pihak polis dalam mengekalkan keamanan seluruh kawasan setempat.-SabahNews Today