Pilih Bahasa

5 OKTOBER HARI AKADEMIA SEMALAYSIA – MASZLEE

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 5 Oktober sebagai Hari Warga Akademia SeMalaysia di mana para guru dan pensyarah akan diraihkan bermula tahun ini.

Membuat pengumuman tersebut di sini hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata tarikh tersebut dipilih sempena dengan Hari Guru Sedunia UNESCO yang turut disambut pada tarikh yang sama.

Maszlee bergambar kenangan bersama dengan warga Institut Pendidikan Guru(IPG) dan Politeknik Tawau. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Katanya perkara ini sudah dipersetujui bersama selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan akademik universiti dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel, di daerah ini, petang tadi.

“Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia menjadikan 5 Oktober sebagai Hari Warga Akademia SeMalaysia, dimana kebiasaannya kita menyambut hari guru tetapi pada tarikh tersebut juga kita akan menyambut hari untuk pensyarah.

Antara warga Institut Pendidikan Guru(IPG) dan Politeknik Tawau yang hadir. Gambar SNT / Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah

“Mereka (kakitangan akademik universiti) ada berbincang dan meminta supaya dijadikan Hari Warga Akademia untuk golongan pensyarah di Malaysia.

“Jadi, buat pertama kalinya kita akan menyambut hari bersejarah itu dengan mengadakan sambutan secara besar-besaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Institut Pendidikan Guru(IPG) dan Politeknik Tawau Sempena Program Tindak Susulan Isu-Isu Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa Isu sekolah daif di Sabah akan cuba sedaya upaya diperbaiki melalui kerjasama berterusan KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Katanya, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan pelaburan bidang pendidikan di negeri ini khasnya berkaitan pembangunan infrastuktur.

“KPM mahu membangkitkan isu kedaifan sekolah-sekolah di Sabah yang telah diabaikan untuk tempoh lama sebelum ini dan memastikan aspek ketelusan serta nilai wang menjadi prinsip terpenting yang diamalkan bagi mengelak sebarang ruang kepada amalan rasuah.

“KPM akan memastikan projek pembangunan infrastuktur akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap melalui pengukuhan sistem tender dan perolehan,”katanya. – SabahNewsToday