Pilih Bahasa

500 anggota pasukan keselamatan siap-siaga pantau Festival Regatta Lepa

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Kira-kira 500 pasukan keselamatan bersiap-siaga bagi mengawal keselamatan ketika berlangsungnya kemuncak Festival Regatta Lepa Kali Ke-25.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, beberapa siri mesyuarat sudah dijalankan bagi menyelaras tugas setiap agensi keselamatan yang terlibat.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas (kiri) bergambar bersama Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Ahmad Nazree Abu Hassan TLDM. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya akan mengadakan taklimat bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah berhubung perancangan kawalan keselamatan dan lalu lintas sempena festival ini yang akan berlangsung pada 25 hingga 28 Mei nanti.

“Saya harap orang ramai jangan risau terhadap kawalan keselamatan dan lalu lintas sebab kita sudah buat perancangan ini dari awal lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Pertandingan Menembak antara Agensi Kerajaan dan Media Sempena Hari Ulangtahun Tentera Laut Diraja Malaysia kali ke-85, di Kapal Diraja (KD) Sri Semporna, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kawalan lalu lintas lebih mencabar pada tahun ini dengan jangkaan jumlah pengunjung yang akan bertambah.

“Kita minta kerjasama semua pihak khasnya pemandu kenderaan untuk ikut arahan yang diberi oleh penguatkuasa yang bertugas mengawal lalu lintas.

“Penguatkuasa akan bertugas pada 26 dan 27 April dan dianggarkan 500 anggota terlibat, katanya di sini.

Beliau berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi lain turut terlibat ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesta Regatta Lepa kali ke-25 sempena Jubli Perak ini dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan tetamu kehormat Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Juhar Mahirudin dan isteri.

Pelbagai acara disusun sepanjang pesta berkenaan berlangsung yang mempamerkan kebudayaan masyarakat suku kaum Bajau Semporna.-SabahNewsToday