Pilih Bahasa

500 peserta sertai Borneo Hospitality Challenge (BHC) 2020

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dion (tengah) pada sidang media sempena penganjuran Borneo Hospitality Challenge (BHC) 2020. – Gambar SNT/SItti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Seramai 500 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai cabaran Borneo Hospitality Challenge (BHC) 2020 yang akan diadakan pada Mei ini sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Pengerusi penganjur, Dion Jee berkata program tersebut julung kalinya dianjurkan di Sabah bertujuan mempamerkan bakat chef tempatan dan luar negara dalam bidang makanan dan minuman (F&B) kepada orang ramai.

“Kesemua chef akan menunjukkan kemahiran kulinari masing-masing dalam tiga kategori utama iaitu pembuka selera (Appetizer), seni masakan dan cabaran individu, selain 20 kategori lain yang turut dipertandingkan.

“Pertandingan ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya dalam sidang media sempena BHC di sini, semalam.

Dion berkata disebabkan oleh masalah wabak Covid-19, bilang negara yang mengambil bahagian berkurangan daripada 15 kepada lima negara sahaja.

Bagaimanapun, beliau memberikan jaminan bahawa acara itu akan tetap dijalankan dengan meriah memandangkan ia sempena dianjurkan bersempena Pesta Kaamatan sepanjang Mei ini.

Menurutnya syarat pertandingan menetapkan had umur kelayakan bagi para peserta adalah 16 tahun ke atas dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM150 hingga RM500.

Pemenang tempat pertama pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai US1,000, naib juara pula US500 dan tempat ketiga pula menerima US200. – SabahNewsToday