Pilih Bahasa

50,000 golongan petani, penternak, nelayan di Sabah terima Bantuan Covid-19 secara tunai

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: 50,000 petani, penternak serta nelayan tidak memiliki akaun bank di negeri ini bakal menerima Bantuan Covid-19 secara tunai.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata beliau melalui kementeriannya akan memastikan semua golongan berkenaan memperoleh bantuan diberikan terbabit.

Datuk Junz Wong. Gambar Fail SNT

Junz berkata pihaknya sedar ramai antara mereka tinggal jauh di kawasan pedalaman serta tidak mempunyai akses bank.

“Oleh itu, kementerian akan mengambil pendekatan menyampaikan bantuan ini secara tunai kepada penerima melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

“Seramai 118,635 penerima yang mempunyai akaun bank sudah disenaraikan manakala 50,000 lagi tiada memiliki akaun bank.

“Perkara ini sudah dibincangkan di Kabinet negeri dan Ketua Menteri juga menasihatkan supaya kita jangan mengambil masa lama untuk menyelesaikannya. Kita akan menggunakan UPPM untuk sampaikan bantuan ini,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan hari kedua mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke 15, dekat sini, hari ini.

Junz berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir yang bertanya mengenai pemberian Bantuan Covid-19 kepada penerima yang berada di pedalaman.

Dalam pada itu, Junz menyatakan tiada sebarang pemberhentian dilakukan dalam kalangan pekerja sambilan harian (PSH) atau pekerja bergaji hari lantikan kerajaan negeri malahan gaji dibayar seperti biasa tertakluk kepada peraturan sedia ada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Aktiviti kritikal seperti biosekuriti dan kewangan pula, kakitangan PSH ini kekal bekerja seperti biasa. Hanya PSH yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting sahaja bekerja dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Junz berkata kerajaan membenarkan semua yang terlibat dalam aktiviti rantaian bekalan makanan termasuklah urusan pengangkutan hasil produk meneruskan aktiviti masing-masing.

“Hal ini bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus berikutan pelaksanaan PKP,” katanya.-SabahNewsToday