Pilih Bahasa

54 ditahan termasuk dua pengedar dadah dalam Op Sarang

Oleh Junaidi Ladjana

Polis memeriksa beberapa individu disyaki penagih dadah dalam Op Sarang di sekitar Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Seramai 54 individu termasuk dua pengedar dadah ditahan dalam Op Sarang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah selama seminggu yang berakhir Jumaat lalu dijalankan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, kampung, setinggan belakang Taman Flamingo dan Skim Penempatan Telipok, Manggatal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepanjang operasi tersebut sebanyak 20 serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota polis narkotik IPD Kota Kinabalu.

“Hasilnya menahan seramai 54 individu kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Daripada jumlah itu, dua individu disyaki pengedar manakala 12 individu lagi ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

“Selebihnya iaitu 40 individu didapati positif ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pasukan polis memeriksa lokasi serbuan dalam Op Sarang di sekitar kawasan Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

Habibi berkata, daripada jumlah itu juga, seramai 36 yang ditahan adalah warga tempatan dan 16 yang lain adalah warga asing berusia 13 hingga 63 tahun.

Katanya jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak 33.27 gram syabu dianggarkan bernilai RM1,663.50 mengikut harga dadah semasa.

Beliau memberitahu semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) akta yang sama.

Sementara itu Habibi berkata, operasi dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

“Secara keseluruhan, Op Sarang ini berjalan lancar dan usaha ini akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat bandaraya ini,” katanya. – SabahNewsToday