Pilih Bahasa

54 pelajar sertai Kaki Bangku Soccer Clinic

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

54 pelajar dari sekitar Kota Kinabalu yang menyertai Kaki Bangku Soccer Clinic. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata


KOTA KINABALU: Seramai 54 pelajar berusia tujuh hingga 14 tahun dari sekitar kawasan Kota Kinabalu mengambil bahagian dalam program Kaki Bangku Soccer Clinic di Padang Kontena Yayasan Sabah.

Jurucakap program tersebut Farish Aziz berkata program kali ini amat menarik kerana melibatkan penyertaan pemain bola sepak kebangsaan Amerika Syarikat, Joanna Lohman.

“Ini merupakan tahun ketiga Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mengadakan program ini dengan objektif utama adalah untuk menyebarkan positiviti kepada masyarakat menerusi sukan.

“Ia juga bagi memberikan peluang kepada para pelajar yang berminat bermain bola sepak mengasah bakat mereka menerusi tunjuk ajar daripada Joanna,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu.

Penutupan Kaki Bangku Soccer Clinic itu disempurnkan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Frankie Poon.

Farish berkata peserta kali ini adalah terdiri daripada pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya dan Madrasah Al-Hikmah Likas.

Katanya sambutan program tersebut amat menggalakkan dan pemain bola cilik yang hadir tidak melepaskan peluang mendapatkan tunjuk ajar daripada Joanna yang merupakan Duta Sukan Bola Sepak Bagi Program Diplomasi AS.

Tambah beliau lagi rombongan itu akan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut pada Isnin ini.

Katanya sebelum ini mereka turut mengadakan klinik bola sepak di SK Likas dan SMK St Michael Penampang. – SabahNewsToday