Pilih Bahasa

587 SEKOLAH DAIF SABAH JADI KEUTAMAAN KERAJAAN TAHUN INI – YUSOF

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengutamakan sebanyak 587 buah sekolah daif seluruh Sabah untuk dinaiktaraf tahun ini.

Bagaimanapun, Menteri Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata ia bergantung kepada kewangan kerajaan negeri.

“Namun itu bukanlah alasan kita. Kita mesti melihat ini sebagai keutamaan supaya ia diselesaikan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob. Gambar SNT/datu Ruslan Sulai

“Tahun lalu, kita sudah membaiki sebanyak 120 buah sekolah daripada 707 jumlah keseluruhan sekolah daif yang mana tidak termasuk sekolah-sekolah menengah dan sekolah-sekolah sedia ada walaupun bangunannya masih dalam keadaan baik tetapi masih melebihi kapasiti pelajar.

“Bagi pihak saya, memang saya ambil tindakan dan berunding dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik cara untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Parti Warisan Sabah (Warisan) di sini pada Ahad.

Katanya permasalahan tersebut sudah lama berlarutan dan bukan sahaja di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St John Beaufort tetapi di seluruh negeri.

Tambahnya kesemua sekolah daif tersebut sememang memerlukan bantuan dan juga tindakan segera dari segi kemudahannya.

Jelasnya terdapat juga sekolah-sekolah yang tidak mampu menampung pelajarnya yang kian meningkat mahupun berkongsi sekolah antara sekolah menengah dan rendah serta kemudahan-kemudahan lain.

“Saya mengambil berat dengan perkara ini kerana jika kita tidak ambil tindakan, kita akan jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan ekosistem pembelajaran.

“Tidak termasuk lagi masalah-masalah lain iaitu sekolah yang belum ada air, bekalan elektrik, tidak ada logistik dari segi jalan raya, kemudahan jalur lebar dan sebagainya.

“Perkara ini kita tidak boleh biarkan berterusan kerana setiap tahun ada penambahan pelajar-pelajar. Kalau kita tidak ambil tindakan, ia akan menjadi lebih parah di masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Yusof berkata terdapat peruntukan yang sudah diluluskan untuk membaiki isu kecemasan di sekolah yang mana kebiasaannya melibatkan kerosakan-kerosakan akibat bencana alam seperti ribut dan sebagainya.

“Saya tidak pasti berapa jumlah yang ada sekarang berkenaan peruntukan isu kecemasan ini, tetapi sekarang ini sudahpun ada tindakan.

“Saya ada meminta taklimat daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri sabah (JPNS) berkenaan isu ini.

“Kementerian Pelajaran dan Inovasi bersama JPNS serta Kementerian Pendidikan sememangnya bekerjasama rapat untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini,” katanya. -SabahNewsToday