Pilih Bahasa

6 RIBU ORANG DATANG UNTUK 500 UNIT PPR PUTATAN

Oleh Datu Ruslan Sulai

Sebahagian penduduk setempat hadir untuk mengambil borang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putatan di Dewan Sri Putatan, pagi ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

PUTATAN:  Lebih 6,000 orang penduduk setempat hadir mengambil borang bagi 500 unit Perumahan Rakyat (PPR) Putatan di Dewan Sri Putatan, pagi ini.

Orang ramai mulai memenuhi perkarangan dewan seawal jam 6 pagi untuk berbaris bagi mengisi kekosongan rumah PPR yang ditawarkan melalui sesi pembelian borang berkenaan.

Berlaku sedikit kekecohan di pintu masuk utama selepas orang ramai mulai berasak-asak untuk memasuki dewan namun berjaya dileraikan secara aman, hasil ketangkasan pihak polis dan pasukan keselamatan yang bertugas.

Keadaan di luar Dewan Sri Putatan di mana orang ramai menunggu untuk membeli borang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putatan, pagi ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Untuk rekod, borang permohonan bagi 500 unit PPR Putatan yang bernilai RM5 sekeping itu dikelolakan sepenuhnya oleh pihak Majlis Daerah Putatan (MDPTN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran sesi pengambilan borang tersebut sejak jam 8 pagi tadi.

Sebahagian penduduk setempat hadir untuk mengambil borang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putatan di Dewan Sri Putatan, pagi ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

“Saya berharap orang ramai bersabar dengan situasi yang berlaku pada hari ini memandangkan adanya insiden tolak menolak, malah pintu masuk turut pecah akibat kejadian berasak-asak ketika berbaris.

” Kita berharap, kelemahan pengurusan dan kerjasama masyarakat sebegini dapat diatasi segera dalam memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku di masa hadapan,” katanya.-SabahNewsToday