Pilih Bahasa

600 kg ikan bom dirampas

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Kira-kira 600 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas kerana disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan yang dianggarkan bernilai RM13,800 menerusi Operasi Khas kesan ikan bom di kawasan Pasar Ikan Safma, di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi khas jam 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan PPM bersama 15 pegawai Jabatan Perikanan Kota Kinabalu.

Pegawai PPM dan Jabatan Perikanan memeriksa ikan yang disyaki dibom dalam Operasi Khas di Pasar Ikan Safma, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan PPM

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 35 meja peniaga ikan diperiksa secara terperinci yang dilakukan sendiri oleh pegawai Jabatan Perikanan.

“Hasil pemeriksaan itu hampir 600 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas kerana disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan bersama empat unit tong ikan.

“Anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM13,800,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Tong berisi ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan dirampas dalam Operasi Khas di Pasar Ikan Safma, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan PPM

Mohamad Pajeri berkata, semua rampasan dibawa ke pejabat Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tujuan laporan polis.

“Kes diserah kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan untuk siasatan mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki ikan disyaki menggunakan bahan letupan.

“Sekiranya masyarakat mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan dan penjualan ikan bom supaya melaporkan kepada balai polis yang terdekat,” katanya.

Anggota PPM bersama Jabatan Perikanan memeriksa ikan yang dijual di kawasan Pasar Ikan Safma, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan PPM

Sementara itu, beliau berkata operasi khas berkenaan memberi tumpuan terhadap peniaga-peniaga yang menjual ikan bom di kawasan Pasar Ikan Safma.

“Operasi ini penting bagi mengesan dan menangkap individu yang menjual ikan bom sekali gus menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan bom di kawasan berkenaan,” jelasnya. SabahNewsToday