Pilih Bahasa

65 peserta dijangka berentap Sugandoi Kaamatan Negeri 2019

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai 65 peserta dijangka akan bertanding di pentas Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2019 yang akan diadakan pada 25 Mei di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

Pengerusi Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2019, Asmin Mudin berkata kesemua peserta termasuk wakil Wilayah Persekutuan Labuan Labuan, Klang Valley, Johor, Pulau Pinang dan Putrajaya akan bertanding di peringkat suku akhir untuk merebut 30 tempat ke separuh akhir pada 26 Mei.

Asmin ketika sidang akhbar berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Pendaftaran peserta Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri akan diadakan pada 24 Mei sebelum ke suku akhir pada hari berikutnya. Peringkat suku akhir akan dijalankan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.

“Pada pertandingan separuh akhir, seramai 30 peserta akan merebut 10 tempat untuk berentap di pentas akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri yang akan diadakan pada 28 Mei bermula pukul 6 petang,” katanya dalam satu sidang akhbar pertandingan berkenaan di Hotel Hilton, hari ini.

Asmin berkata seperti setiap pertandingan Sugandoi Kaamatan Negeri, peserta perlu membawakan dua buah lagi dalam bahasa Kadazan, Dusun atau Murut (KDM)

Namun jelasnya sebagai pembaharuan, setiap peserta diwajibkan membawa sebuah lagi Songkotoun selain lagu bebas KDM.

Tambahnya lagi 10 peserta peringkat akhir juga akan membuat persembahan mereka dengan diiringi dengan mini orkestra dan dibenarkan membuat susunan gubahan muzik medley lagu pilihan pertama dan kedua mengikut keselesaan serta kepuasan peserta bagi tujuan peningkatan kreativiti.

Katanya peserta tidak boleh menukar pilihan lagu bebas mereka atau lagu pertama selain Songkotoun yang dipersembahkan semasa pertandingan separuh akhir. -SabahNewsToday