Pilih Bahasa

670,713 kanak-kanak di Sabah sudah terima vaksin Polio

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Seramai 670,713 kanak-kanak bawah umur 13 tahun sudah menerima suntikan vaksin dos pertama bOPV di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata suntikan dos kedua bOPV pula sudah diberikan kepada 299,764 kanak-kanak bagi usia sama.

Frankie Poon. – Gambar fail SNT

“Kementerian mensasarkan 853,265 kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) di seluruh negeri.

“Kempen ini masih diteruskan namun pelaksanaanya agak perlahan terutamanya selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pemberian imunisasi Polio masih diteruskan kepada kanak-kanak yang datang ke klinik untuk mendapatkan imunisasi rutin dalam usaha mencapai sasaran liputan imuniasai Polio melebihi 95 peratus.

“Manakala pemberian imunisasi vaksin mOPV2 yang sepatutnya bermula pada 23 Mac lalu sudah ditunda dan dijadualkan semula berikutan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias, Datuk Isnin Aliasnih pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Frankie menyatakan penerimaan masyarat setempat ke atas kempen berkenaan sangat baik ketika ini.
Sementara itu, beliau berkata tiada sebarang pertambahan kes Polio baharu dilaporkan berlaku di Sabah setakat awal bulan ini.

“Kedudukan kes Polio yang disahkan ketika ini adalah empat kes iaitu membabitkan daerah Sandakan (2 kes), Tuaran (1 kes) dan Kinabatangan (1 kes).

“Menerusi jumlah berkenaan, hanya satu kes positif sahaja masih berada di wad namun berada dalam keadaan stabil,” katanya. -SabahNewsToday-