Pilih Bahasa

675.61 hektar tanah sudah diwartakan sebagai perkampungan di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak 675.61 hektar tanah membabitkan 14 buah kampung dari tujuh daerah di negeri ini sudah diwartakan antara Jun 2018 hingga Oktober 2019.

Antara daerah berkenaan termasuklah Tambunan, Keningau, Ranau, Kudat dan Papar.

Pembantu Menteri Jabatan Ketua Menteri, Arifin Asgali. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Arifin Asgali berkata dalam tempoh sama, sebanyak 42 buah kampung melibatkan keluasan 380.87 hektar di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Semporna kini dalam proses akhir untuk diwartakan.

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengazetkan tanah-tanah perkampungan tradisi termasuklah mewartakan tanah perkampungan tradisiyang sudah diukur tetapi belum diwartakan di bawah Seksyen 28, Ordinan Tanah Bab 68 sebagai Skim Penempatan atau Seksyen 78, Ordinan Tanah Bab 68 selaku Tanah Simpanan Perumahan Anak Negeri.

“Selain itu, memproses serta menyiasat di lapangan seterusnya mengukur semua permohonan perkampungan yang diterima daripada ketua kampung sebelum mewartakannya sebaik sahaja pelanpengukuran diluluskan.

“Kerajaan negeri juga mengarahkan semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mahupun jabatan kerajaan termasuklah Jabatan Perhutanan bagi mengenalpasti semua kampung tradisi yang wujud di tanah milik mereka atau tanah yang diwartakan untuk kegunaan pihak terbabit untuk dikeluarkan. Kita mahu tanah terbabit diwartakan selaku tanah perkampungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim (PBS) ketika sesi soal jawab sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke 15, dekat sini, hari ini.

Jahid mengemukakan soalan mengenai langkah yang sudah diambil kerajaan bagi mengazetkan tanah-tanah perkampungan tradisi selain berapa jumlah tanah sudah digazetkan menjadi kampung mengikut pecahan daerah.

Sementara itu, Arifin berkata setakat 31 Oktober tahun ini, sebanyak 17 kampung melibatkan jumlah keluasan 1,022.99 hektar di daerah Kota Marudu, Papar, Semporna, Beaufort dan Pitas sudah dikenalpasti untuk dikeluarkan dari tanah milik Kumpulan Sawit Kinabalu.

“Sebanyak 23 kampung dengan keluasan keseluruhan 8,341 hektar pula dikenalpsti bagi dikeluarkan dari tanah Safoda melibatkan daerah Pitas, Kota Marudu serta Kota Belud.

“Manakala tujuh kampung di daerah Keningau, Papar, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu membabitkan keluasan 797.80 hektar pula telah dikenalpasti bakal dikeluarkan dari tanah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS),” katanya. -SabahNews Today