Pilih Bahasa

6,757 daripada 7,000 Ketua Isi Rumah yang didaftarkan di Kemabong terima bantuan

Jamawi (tengah) mengagihkan bekalan makanan kepada sebuah KIR di kawasan Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

KEMABONG: Sejumlah 6,757  daripada 7,000 orang Ketua Isi Rumah (KIR) yang didaftarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemabong telah menerima bantuan keperluan  makanan  masing masing bagi membantu mereka yang terkesan dengan virus Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata sumbangan tersebut telah diserahkan kepada pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing masing selain ada yang beliau serahkan sendiri kepada penerima .

“Selama lima hari usaha kita lakukan bagi menghantar bantuan ini, bagaimanapun kita masih menyimpan baki makanan sebanyak 700 kesemuanya di Pusat Khidmat Adun Kemabong.

“Bagi mereka yang belum memperolehinya boleh berhubung dengan pengerusi MPKK masing-masing untuk mendapatkannya,” katanya.

Jamawi berkata kerajaan hanya memperuntukan peruntukan tersebut RM100,000 untuk diagihkan kepada 1,000  KIR terutama ibu tunggal, warga emas dan OKU sebagai penerima.

Jelas beliau lagi, pihaknya faham bantuan itu sudah tentu tidak mencukupi untuk diagihkan kepada KIR khususnya di DUN Kemabong yang berjumlah 7,000 orang yang semuanya terkesan dengan musibah virus Covid-19

“Kita mengambil insiatif menambah peruntukan tersebut melalui sumber lain termasuk menggunakan peruntukan sentuhan kasih yang diperuntukan kepada setiap Adun bagi menambah peruntukan dan menyelaraskan bantuan untuk membolehkan semua KIR yang terkesan dengan Virus Covid-19 menerimanya.

Jamawi  turut berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Insfrastruktur negeri yang juga Adun Melalap  Datuk Peter Anthony yang sumbang 1,000 bungkusan makanan untuk diagih-agihkan di kawasan Kemabong. – SabahNewsToday