Pilih Bahasa

68 pelajar sertai Program ‘Bermalam Di Muzium’ di Sabah

Assafal P Alian. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU, 30 Ogos  — Seramai 68 pelajar menyertai Program “Bermalam Di Muzium” Negeri Sabah bermula malam ini hingga esok bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dan semangat patriotsme dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assaffal P Alian berkata program dua hari satu malam anjuran muzium berkenaan dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara serta mendekatkan muzium dengan masyarakat terutama pelajar sekolah.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal, muzium berperanan mendidik dan membentuk generasi muda untuk peka terhadap khazanah warisan negara,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, di sini malam ini.

Beliau berkata, pelajar yang dipilih mengikuti program berkenaan adalah mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun dan dipilih daripada pelajar sekolah di beberapa daerah di Sabah.

“Antara aktiviti yang dijalankan pada program ini ialah Kuiz, membuat tengkolok beramai-ramai dan program santai-santai,” katanya.

Assaffal berharap program berkenaan dapat menimbulkan kesedaran tentang kepentingan muzium dalam mengekalkan budaya dan citra bangsa selain menjadi wadah terpenting dalam pembinaan negara bangsa selaras dengan cita-cita negara untuk melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu.          

— BERNAMA