Pilih Bahasa

70 PERATUS JENAYAH TUARAN DISELESAIKAN TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT

Oleh Alfred Petrus

TUARAN: Kadar penyelesaian jenayah daerah Tuaran berada di tahap yang sama bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2016.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berjaya menyelesaikan sebanyak 70 peratus daripada jenayah yang berlaku di daerah itu.

Dzulbaharin (tengah) bertemu dengan orang ramai di Hari Bertemu Pelanggan Polis Tuaran di Telipok Ria hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Ini bermakna kita telah menyelesaikan tujuh daripada 10 kes di Tuaran bagi tiga tahun kebelakangan ini sehingga 2018.

“Jenayah yang kita lihat berlaku peningkatan adalah jenayah curi dan curi kenderaan.

“Bagi kes jenayah lain adalah dalam keadaan terkawal,” katanya ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Polis Tuaran di Telipok Ria pada Selasa.

Dzulbaharin berharap agar masyarakat setempat bekerjasama dengan pihak polis Tuaran dalam menangani kegiatan jenayah di daerah tersebut.

“Kita akan cuba, khusunya polis Tuaran untuk berusaha sedaya upaya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat di Tuaran ini terpelihara,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, katanya saramai 35 individu telah menghadiri ke program Hari Bertemu Pelanggan Polis Tuaran bagi satu jam pertama.

“Bagi rekod, mereka datang untuk melihat saman. Cuma tidak ada diskaun diberikan,” katanya.

Pada program itu, IPD Tuaran turut melakukan ‘walkabout’ di Telipok Ria bagi mengedarkan risalah berkenaan kesalahan jenayah dan usaha pihak polis membanteras jenayah. -SabahNewsToday

-Tamat