Pilih Bahasa

73 tangkapan dalam Ops Sarang

Oleh Alfred Petrus

Pemeriksaan dibuat disalah sebuah rumah ketika Ops Sarang oleh IPD Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Sebanyak 73 tangkapan berjaya dibuat dalam 22 serbuan Ops Sarang yang dijalankan selama seminggu bermula 8 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua tangkapan tersebut dibuat melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952. 

“Tumpuan utama telah diberikan ke atas tangkapan yang melibatkan kesalahan memiliki dadah dan seramai 31 individu telah berjaya ditangkap diikuti 40 tangkapan melibatkan kesalahan urin dan dua tangkapan melibatkan kategori bekalan dan pengedaran.

“Seramai 60 yang ditahan adalah warga tempatan dan 13 yang lain adalah warga asing dan kesemua yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 19 sehingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumlah keseluruhan rampasan pada tempoh kajian adalah sebanyak 16.22 gram dadah jenis syabu dan 5.06 gram dadah jenis ketamin yang dianggarkan bernilai RM 3,192 mengikut harga dadah semasa.

Tumpuan operasi adalah di Pekan Inanam, Kampung Likas dan Sembulan Lama manakala tumpuan operasi bagi Ops Sarang kali ke-24 telah dilaksanakan di Kampung Labou, Menggatal, Kampung Air dan Sinsuran.

Terdahulu, pada 14 Jun, Ops Sarang yang dijalankan bermula pukul 2 petang itu telah memeriksa seramai 12 individu.

Hasil pemeriksaan tersebut, tujuh individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan empat individu lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Serbuan yang dijalankan oleh BSJND Kota Kinabalu adalah  berdasarkan risikan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta maklumat dari orang awam berhubung lokasi yang dipercayai menjadi tempat aktiviti pengedaran dadah.

Selain itu, ia juga bertujuan mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di sekitar kawasan Kota Kinabalu.

Habibi menekankan usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam. 

“Sebagai langkah untuk mengurangkan masalah penagihan IPD Kota Kinabalu telah berjaya menahan seramai 41 orang penagih berulang sepanjang Januari sehingga Jun 2019.  

“Kesemua mereka telah disabitkan mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun serta sebatan tidak lebih dari tiga sebatan,” katanya.

Habibi berkata bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, usaha sama dari orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 220 atau ke akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu. – SabahNewsToday