Pilih Bahasa

731 penagih ditahan AADK Sabah setakat Jun lalu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Bakri Bibi (tiga kanan) merakamkan gambar bersama Keith Foo pada sidang media sempena Larian Amal SMART 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 731 orang penagih ditahan dalam beberapa siri operasi dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah sepanjang tahun ini di seluruh negeri.

Pengarah AADK Sabah, Bakri Bibi berkata menerusi bilangan tangkapan tahun ini, golongan belia lingkungan umur antara 26 hingga 39 tahun adalah paling ramai ditahan atas kesalahan menagih dadah iaitu membabitkan 427 orang dan diikuti belia berumur 19 hingga 25 tahun seramai 153 orang yang menjadikan keseluruhan tangkapan melibatkan belia seramai 580 orang.

“Selain itu, statistik ketiga tertinggi membabitkan tangkapan penagih dewasa berusia 40 hingga 49 tahun seramai 113 orang manakala 34 tangkapan melibatkan penagih berumur antara 50 hingga 59 tahun.

“Semua penagih yang ditahan ini merupakan warga tempatan kerana kita hanya melakukan program pemulihan dalam kalangan warganegara sahaja. Sekiranya terdapat pendatang asing tanpa izin (PTI) sewaktu serbuan, kita akan serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen atau polis.

“Dalam pada itu, kawasan paling tinggi menunjukkan tangkapan mengikut daerah meletakkan Kota Kinabalu pada kedudukan tertinggi diikuti Tawau, Sandakan dan Keningau,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sidang media Larian Amal Smart 2019, di sini hari ini.

Bakri Bibi (kanan) menyerahkan Watikah Perlantikan Duta Skuad kepada Keith Foo. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam majlis sama turut diperkenalkan duta skuad merangkap duta larian berkenaan, Keith Foo.

Dijangka berlangsung pada 16 November hadapan, larian amal terbabit akan bermula di perkarangan bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) dan mengambil jarak 10 kilometer membabitkan tiga kategori utama iaitu Remaja, Terbuka serta Veteran.

Dalam pada itu, Bakri berkata peningkatan jumlah tangkapan ini bukan disebabkan masalah penagihan  tetapi sebaliknya kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penagihan di kawasan masing-masing dilihat kian bertambah.

Bakri berkata keterbukaan orang awam seumpama itu sangat dialukan pihaknya kerana ia banyak membantu AADK untuk melaksanakan proses pemulihan.

Bakri Bibi (lima kanan) merakamkan gambar bersama Keith Foo dan penaja rasmi pada sidang media Larian Amal SMART 2019. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, beliau menyatakan pihaknya bakal melaksanakan operasi secara berterusan daripada semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, kita juga meminta orang agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di tempat masing-masing kerana tindakan ini akan membantu AADK menangani masalah penagihan dadah di negeri ini agar tidak berlarutan,” katanya. – SabahNewsToday