Pilih Bahasa

734 pelajar Sabah dan Sarawak UPSI dihantar pulang

TANJUNG MALIM: 734 orang pelajar Sabah dan Sarawak Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Perak telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui penerbangan khas yang disediakan kerajaan.

Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) turut hadir ketika menyaksikan proses penghantaran tersebut berkata persiapan rapi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan UPSI dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjaga amat dihargai.

Arthur bertanyakan khabar kepada salah seorang pelajar UPSI.Gambar SNT/Ihsan PBRS

Katanya semua pelajar melalui proses saringan kesihatan sebelum menaiki bas menuju ke lapangan terbang selaras dengan prosuder operasi standard yang telah ditetapkan.

“Harap pelajar berterima kasih kepada Kerajaan yang telah berusaha membuat yang terbaik bagi memastikan keselesaan mereka, termasuk menyediakan peruntukan membiayai makan dan minum pelajar sepanjang tempoh PKP ini dan tiket penerbangan pulang ke kampung,” katanya.

Katanya pertama kali dalam sejarah di mana pelajar diberikan layanan serta keistimewaan menunjukkan kerajaan hari ini sangat mengambil berat kebajikan rakyat termasuk pelajar.

“Saya berharap mereka akan menjadi orang yang berjaya boleh menyumbang kembali kepada negara dan seterusnya menjaga kebajikan generasi yang akan datang,” katanya.

Pada masa sama Arthur yang juga ahli parlimen Pensiangan, berkata walaupun Kerajaan telah memberikan sedikit kelonggaran dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ini tidak bermakna kebebasan bergerak oleh semua tetapi perlu sentiasa patuh kepada arahan yang telah di tetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, katanya keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah penting bagi mengimbangi aspek kesihatan dan kelansungan ekonomi negara.

Sehubungan itu Arthur mengingatkan kepada pelajar yang pulang ke kampung untuk sentiasa mengulangkaji pelajaran, serta menghadiri kelas pembelajaran secara maya sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak universiti dan bersedia menerima norma baharu pendidikan selepas ini. -SabahNewsToday